Sidek bin Saniff


Sidek bin Saniff juga dikenali dengan nama penanya Esbies dan Sibisa, dilahirkan pada 18 April 1938. Beliau merupakan lulusan Maktab Perguruan Sultan Idris, Perak (Malaya) dan memperolehi ijazah Sarjana Muda Sastera (kepujian) daripada University of London. Beliau menjadi guru dari tahun 1953 hingga 1980. Sidek Saniff mula melibatkan diri dalam politik sebagai Anggota Parlimen kawasan undi Kolam Air pada tahun 1976. Beliau kemudiannya dilantik Menteri Negara Pendidikan; Menteri Negara Kanan Pendidikan; dan Menteri Negara Kanan Kesekitaran sehingga bersara pada tahun 2002.

Walaupun beliau seorang politikus, namun sumbangan beliau dalam arena bahasa dan persuratan amat terasa sekali oleh para aktivis dan masyarakat Melayu umumnya kerana setiap inisiatif yang dicadangkan mahupun direalisasikan menyumbang kepada anjakan paradigma masyarakat Melayu dan negara. Beliau banyak menulis sajak yang diterbitkan di akhbar Berita Minggu Singapura dan majalah. Beliau merupakan aktivis tetap yang sering mengikuti pertemuan-pertemuan bahasa dan sastera di dalam dan luar negara seperti MABBIM, MASTERA, PSN, GAPENA dan seumpamanya. Beliau juga merencanakan dan merealisasikan penggunaan Bahasa Baku di Singapura sehingga hari ini dan pembukaan Universiti Malaya kepada para guru Bahasa Melayu Singapura bermula tahun 1993. Beliau juga bertanggungjawap memperkenalkan dan mencorakkan Anugerah Persuratan pada tahun 1992. Sebelum ini ia dikenali sebagai Hadiah Sastera. Beliau juga menyarankan sambutan selangseli Anugerah Persuratan dan Bulan Bahasa setiap tahun. Sidek Saniff pernah bergiat di Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura (1959-1976) sebagai editor majalah GURU, Setiausaha Agung dan Yang Dipertua; Pengerusi bagi kongres Mendaki I dan II (1982) sehingga tertubuhnya Mendaki; Pengerusi Jawatankuasa Ejaan Bahasa Melayu Singapura (1980) yang akhirnya dikenali sebagai Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) pada tahun 1986, beliau merupakan pengerusi MBMS sehingga 2002.

Karya
Education and Singapore Malay society: Prospects and challenges. (1992). Singapore: Dept. of Malay Studies, National University of Singapore.
Bahasa Melayu dalam cabaran: Antologi bersama. (1994). Kuala Lumpur: Persatuan Linguistik Malaysia.
Peranan dan penggunaan bahasa di Singapura. (1994). [Kuala Lumpur]: Persatuan Linguistik Malaysia.
Bukan binatang buruan: Kumpulan sajak 1955-2004. (2004). Singapura: Majlis Bahasa Melayu Singapura. 

Pencapaian/Anugerah
1976
: Dilantik anggota Parlimen Kawasan Undi Kolam Air.
1977 : Anugerah Dewan Kehormatan PERSILAT.
1980 : Setiausaha Parlimen Kementerian Perhubungan dan Setiausaha Parlimen Kedua Kementerian Kebudayaan Singapura.
1981 : Setiausaha Parlimen Kementerian Ehwal Masyarakat.
1988 : Setiausaha Parlimen Kanan Kementerian Pendidikan.
1996 : Dilantik Menteri Negara Kanan Kementerian Pendidikan.
1997 : Anugerah Friend of Labour NTUC (1997); dilantik Menteri Negara Kanan Kesekitaran.
2002 : Anugerah Tokoh Guru KGMS.
2003 : Anugerah Tokoh Suluh Budiman UPSI.



Sumber
Mohamed Pitchay Gani bin Mohamed Abdul Aziz. (Ed.). (2005). Leksikon: Direktori penulis Melayu Singapura pasca 1965 (ms. 179-180). Singapura: Angkatan Sasterawan '50 & National Library Board.



The information in this article is valid as at 2005 and correct as far as we can ascertain from our sources. It is not intended to be an exhaustive or complete history of the subject. Please contact the library for further reading materials on the topic.

Subject
Personalities>>Biographies>>Authors
Sidek bin Saniff
Language and literature>>Literatures>>Austronesian and Oceanian literatures>>Malay literature
Sastera Melayu
Authors, Malay--Singapore--Biography
Sastera Melayu Singapura>>Penulis Melayu Singapura

All Rights Reserved. National Library Board Singapore 2007.